USUL 2

KERTAS CADANGAN UNTUK PERTIMBANGAN MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ) PERINGKAT PUSAT JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA IBU PEJABAT


MENCADANGKAN JAWATAN GRED WK54 DAN WK52 SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP) DIBERIKAN KEPADA PEGAWAI JKDM YANG LAYAK

1. TUJUAN

1.1 Pihak Pekerja memohon supaya Pihak Pengurusan JKDM membantu mengatasi masalah kekurangan waran perjawatan kenaikan pangkat di Gred W52 dan Gred W54 diisi secara Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada pegawai JKDM yang layak.

2. LATAR BELAKANG

2.1 Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) ialah jawatan yang diberikan kepada seseorang yang layak untuk dinaikkan pangkat tetapi kekosongan jawatan tiada untuk mereka. Ia adalah salah satu langkah segera bagi mengatasi masalah kekurangan waran perjawatan kenaikan pangkat dalam sesebuah agensi.

2.2 Dalam usaha untuk mewujudkan jawatan-jawatan kenaikan pangkat dalam sesebuah agensi, kadang-kadang terdapat kekurangan yang tidak dapat ditampung oleh penstrukturan semula atau penyusunan semula jawatan terutamanya bagi agensi yang tertutup (closed service) agensi seperti JKDM.

2.3 Justeru itu, langkah penyelesaian terhadap ketidakseimbangan antara kekosongan perjawatan dengan kelayakan pegawai ialah dengan mewujudkan jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) berdasarkan tempoh masa seseorang pegawai itu berkhidmat.

2.4 Sekiranya mengambil kira sektor perguruan/pendidikan yang menggunakan Sistem Time Based 8-8-6-3, maka JKDM perlu memohon untuk jawatan W52 (KUP) bagi pegawai di gred W48 yang telah berkhidmat selama 22 tahun atau lantikan 1993 dan sebelumnya. JKDM sepatutnya boleh mendapatkan tempoh masa yang lebih singkat kerana kepentingan tugas dan tanggungjawab yang dipikul sebagai pemungut hasil negara (seperti LHDN) dan mengawal keselamatan negara (seperti PDRM & ATM).

3. ASAS-ASAS PERTIMBANGAN/ JUSTIFIKASI

3.1 Sektor pendidikan mempunyai dasar yang jelas iaitu Sistem Time Based 8-8- 6-3 yang menjamin bahawa para guru bakal dinaikkan pangkat mereka apabila tempoh perkhidmatan mereka mencapai tempoh tertentu. Contohnya apabila genap tempoh perkhidmatan mereka selama 22 tahun, maka mereka layak dinaikkan pangkat ke gred W52 dan apabila genap 25 tahun pula ke gred W54. Ramai pegawai di Gred W48 dan Gred W52 kini yang telah berkhidmat melebihi 25 hingga 30 tahun tetapi masih tidak berada di Gred yang sepatutnya seperti penjawat awam di Jabatan/ Agensi awam yang lain. Di mana silapnya struktur kenaikan pangkat JKDM?

3.2 Berbanding dengan keadaan di JKDM, terdapat ramai pegawai kanan JKDM yang telah berkhidmat melebihi 22 tahun tetapi masih lagi tidak diperakukan ke gred W52 di sebalik penstrukturan semula perjawatan dalam JKDM kerana pelaksanaan GST dan u-Customs. Cuba bayangkan sekiranya tiada pelaksanaan GST dan u-Customs, sudah pasti keadaannya akan menjadi lebih teruk lagi seperti sebelum ini.

3.3 Ternyata bahawa penstrukturan semula perjawatan yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Sumber Manusia pada setiap kali wujud pertambahan tugas dan tanggungjawab masih belum dapat menyelesaikan masalah kelewatan pegawai JKDM untuk dinaikkan pangkat ke gred-gred tertentu, terutamanya gred W52 dan gred W54.

3.4 Justeru itu, jalan penyelesaian segera ialah dengan memperakukan pegawaipegawai JKDM yang layak untuk dinaikkan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) sementara menunggu kekosongan perjawatan atau penstrukturan semula perjawatan yang tidak pasti bila akan berlaku.

4. SYOR DAN CADANGAN

4.1 Pihak Pekerja mencadangkan agar pihak pengurusan JKDM memohon jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada pegawai yang layak. Dicadangkan agar tempoh masa 20 tahun dari tarikh lantikan dijadikan asas untuk pegawai di gred W48 dinaikkan pangkat ke gred W52 secara KUP atau 5 tahun menyandang gred W48 dan 23 tahun dari tarikh lantikan untuk pegawai di gred W52 untuk dinaikkan pangkat ke gred W54 atau 3 tahun menyandang gred W52.

4.2 Tempoh masa perkhidmatan 20 tahun untuk gred W52 (KUP) dan 23 tahun W54 (KUP) dijadikan asas kerana mengambil kira kumpulan pegawai yang telah dinaikkan pangkat ke gred tersebut sebelum ini. Tempoh ini amat munasabah kerana tugas perkastaman semakin rumit, mencabar dan boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga pegawai.

5. IMPLIKASI KEWANGAN

5.1 Pihak Pekerja percaya bahawa cadangan memohon perakuan jawatan (KUP) W52 dan W54 kepada pegawai yang layak tidak membebankan kewangan kerajaan kerana jumlah bilangan pegawai JKDM tidak terlalu ramai berbanding sektor perguruan (lebih kurang 100 orang pegawai). Tambahan pula, prestasi JKDM dalam konteks kutipan hasil negara amat memberangsangkan pada tahun 2015 ini dan dijangka melepasi sasaran kutipan tahunan.

5.2 Pegawai JKDM akan menjadi lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka sebagai pemungut hasil negara, mencegah penyeludupan dan memelihara keselamatan negara. Natijahnya kelak akan diterjemahkan dalam penambahan kutipan hasil negara dan pengurangan kegiatan penyeludupan barang keluar dan masuk negara yang memberi impak yang positif kepada KDNK negara.

6. KESIMPULAN

6.1 Cadangan untuk memohon perakuan jawatan W52 (KUP) dan W54 (KUP) bagi tempoh perkhidmatan selama 20 tahun dan 23 tahun tidaklah keterlaluan memandangkan pegawai di agensi lain terlebih dahulu menikmati gred 52 dan gred 54 seawal tempoh perkhidmatan 10 tahun dan 15 tahun sahaja. Tambahan pula, JKDM adalah agensi pemungut hasil negara dan mengawal keselamatan negara. Prestasi JKDM juga amat cemerlang dan perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh kerajaan.

Disediakan oleh:
Persatuan Pegawai Kanan Kastam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia