USUL 1

KERTAS CADANGAN UNTUK PERTIMBANGAN MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ) PERINGKAT PUSAT JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA IBU PEJABAT


MASALAH PELAKSANAAN DASAR PENEMPATAN /PERTUKARAN PEGAWAI JKDM

1. TUJUAN

1.1 Pihak Pekerja memohon supaya Pihak Pengurusan mengkaji semula pelaksanaan Dasar Penempatan/ Pertukaran pegawai-pegawai JKDM yang semakin menjadi rungutan di kalangan warga Jabatan sejak kebelakangan ini.

2. LATAR BELAKANG

2.1 JKDM telah melaksanakan Perintah Pertukaran pegawai kanan dan pegawai sokongan bagi tujuan pengisian kekosongan jawatan, penstrukturan semula organisasi dan penempatan pegawai secara berancang untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan. Dari aspek yang positif, pegawai yang ditempatkan di tempat yang baharu berpeluang untuk mengembangkan kerjaya mereka serta merasai persekitaran tempat bertugas yang baharu.

2.2 Walau bagaimanapun, apabila arahan pertukaran dikeluarkan oleh ibu pejabat sama ada pertukaran itu melibatkan kenaikan pangkat atau pertukaran secara lateral, maka terdapat sebilangan pegawai JKDM yang tidak mahu berpindah dengan menyatakan pelbagai alasan untuk dipertimbangkan oleh pihak pengurusan sumber manusia. Malahan, ada segolongan pegawai yang sanggup menolak tawaran kenaikan pangkat semata-mata kerana mereka tidak mahu berpindah dari stesen/negeri asal mereka.

2.3 Langkah untuk memindahkan seseorang pegawai itu ke stesen/ negeri yang lain adalah salah satu langkah yang baik. Tetapi, pelaksanaannya perlu diperhalusi agar objektif sebenar pertukaran pegawai itu tercapai. Mungkin pertukaran antara stesen/ negeri ini adalah saranan daripada pihak-pihak tertentu bagi mengekang gejala rasuah yang semakin membarah dalam JKDM. Namun, adakah dengan memindahkan seseorang pegawai itu ke stesen yang lain, masalah integriti pegawai tersebut boleh dikurangkan atau diselesaikan?

2.4 Setiap dasar atau perintah yang dikeluarkan oleh Jabatan adalah bertujuan untuk menambahbaik dasar atau perintah sedia ada. Oleh itu, sebarang kelemahan perlu segera diperbaiki agar ia membantu hasrat Jabatan dalam usaha meningkatkan produktiviti dan integriti warga JKDM. Usaha Jabatan menjadi sia-sia apabila kita tidak melihat kepada impak yang berlaku hasil daripada dasar atau perintah yang dikeluarkan. Dasar yang kurang baik boleh menyebabkan motivasi pekerja menurun, rumahtangga menjadi tidak harmoni, kos kerajaan meningkat, kos individu bertambah, integriti pegawai terjejas dan imej Jabatan tercemar.

3. ASAS-ASAS PERTIMBANGAN/ JUSTIFIKASI

3.1 Usul ini dikemukakan kerana terdapat rungutan dan desakan dari warga JKDM untuk menambahbaik dasar penempatan/ pertukaran pegawai yang dilaksanakan Jabatan. Ulasan dalam usul ini diharapkan dapat membantu pengurusan JKDM mencari kaedah terbaik melaksanakan dasar penempatan/pertukaran yang berjaya merungkai permasalahan yang dihadapi JKDM dan pada masa yang sama menjaga hak serta kebajikan warga JKDM.

3.2 Pertukaran antara negeri/ wilayah seolah-olah menjadi mandatori/ wajib kepada pegawai JKDM, terutamanya yang dinaikkan pangkat. Akibatnya, ada pegawai yang merayu untuk tidak ditukarkan, ada pegawai yang memohon supaya ditukarkan di tempat yang lebih dekat dengan stesen asal mereka, ada pegawai yang memohon penangguhan pertukaran mereka dan ada yang tidak mahu ditukarkan langsung dan sekaligus menolak peluang kenaikan pangkat yang ditawarkan kepada mereka.

3.3 Masing-masing mempunyai alasan yang tersendiri untuk tidak berpindah dari stesen/ negeri/ wilayah asal mereka. Ada yang memberi alasan berkaitan kesihatan diri, keluarga, anak-anak, ibu bapa dan sebagainya. Ada juga yang memberikan alasan kesukaran untuk mencari rumah sewa dan kos sara hidup yang tinggi di sesetengah kawasan/ negeri. Tidak kurang juga yang memberi alasan bahawa isteri/ suami sukar untuk berpindah dan disebabkan itu maka pegawai terpaksa menolak peluang kenaikan pangkat yang diberikan kepada mereka.

4. SYOR DAN CADANGAN

4.1 Antara cadangan penyelesaian yang boleh dilaksanakan Jabatan ialah:
4.1 Dasar pertukaran mengikut zon
4.2 Dasar pertukaran mengikut suami/isteri
4.3 Dasar pertukaran suka sama suka
4.4 Dasar pertukaran mengikut kepakaran
4.5 Dasar pertukaran mengikut minat, kemahiran dan pengalaman
4.6 Dasar pertukaran yang menjamin hak-hak pekerja

5. IMPLIKASI KEWANGAN

5.1 Pelaksanaan dasar pertukaran yang diubahsuai ini tidak melibatkan implikasi kewangan, malahan mampu menjimatkan kos kerajaan, kos pegawai dan beban tugas pegawai di Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia.

6. KESIMPULAN

6.1 Pegawai JKDM mampu meningkatkan produktiviti sekiranya mereka merasa dihargai oleh majikan mereka. Justeru itu, dengarilah suara mereka dan letakkanlah diri kita dalam diri mereka agar kita lebih memahami denyut nadi dan keluh kesah mereka. Semoga warga JKDM mampu menyumbang ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan.

Disediakan oleh:
Persatuan Pegawai Kanan Kastam
Jabatan Kastam Diraja Malaysia