SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan dua syarikat melunaskan tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masing-masing sebanyak RM17,492 dan RM4,311. Ia berikutan kegagalan pengurusan kedua-dua syarikat melunaskannya dalam tempoh ditetapkan tahun lalu.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mendapati writ sivil dikemukakan Unit Guaman Sivil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menyatakan ada pengeluaran bil tuntutan kepada kedua-dua syarikat itu, namun tiada bayaran dibuat. Berdasarkan writ pertama, JKDM menerima penyata GST untuk syarikat kurier, YTC Services Sdn Bhd bersama dua defendan lain iaitu pengarah syrikat itu, Yap Tee Chyuan, 43, dan Yap Ah Chit, 68, berjumlah RM9,319 dan RM8,171 bagi tempoh bercukai pada Julai serta Oktober tahun lalu.

Satu bil tuntutan mengikut Akta GST 2014 kemudian dikeluarkan bagi kedua-dua jumlah itu, namun defendan masih gagal membayar baki tunggakan cukai ditafsirkan. Bagi writ kedua, syarikat pembuatan makanan, GSR Food Industries Sdn Bhd dikenakan tuntutan selepas gagal membayar pungutan GST RM1,990 dan RM2,320 dalam tempoh ditetapkan pada Julai dan September tahun lalu. Syarikat itu bersama tiga pengarah syarikatnya, Zid Khalid, 63, Raja Aini Raja Abd Rahman, 61, dan Mohd Arshad Suparman, 48, dituntut plaintif membayar keseluruhan tunggakan bersama faedah lima peratus bermula tarikh kes difailkan hingga ke tarikh penyelesaian penuh.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pengarah Kastam JKDM negeri, Abdul Rasyiddi Ab Drahman, manakala defendan yang membayar tuntutan berkenaan semalam tidak diwakili peguam.

Artikel disiarkan pada: Isnin, 1 Ogos 2016 5:10 PM

Sumber asal: http://www.bharian.com.my/node/178962