Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan tiga percubaan penyeludupan yang membabitkan gading gajah dan dadah bernilai lebih RM10 juta di pintu masuk KLIA di sini.
Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, hasil risikan dan pemantauan berkala pihaknya sebanyak 23 bungkusan kargo udara ditahan dalam operasi pemeriksaan di gudang kargo udara, Zon Bebas KLIA pada 21 Julai lalu.
Beliau berkata, bagi kes pertama, pihaknya berjaya merampas kira-kira satu tan gading gajah dengan nilai anggaran RM10,010,000 yang tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kinshasa, Republik Demokratik Kongo dan transit di Lapangan Terbang Atatuk, Istanbul Turki sebelum tiba di KLIA.
“Kes kedua rampasan dadah jenis Metaphetamin seberat 530 gram dengan nilai dianggarkan RM42,400 yang diperoleh melalui operasi pemeriksaan bungkusan yang tiba di Pusat Mel dan Kurier (PMK) pada 22 Julai lalu.
“Bungkusan ini tiba dari Lagos, Nigeria pada 13 Julai lalu dan akan dihantar kepada penerima di Kuala Lumpur, namun pihaknya gagal menghubungi penerima dan dibawa balik ke pejabat,” katanya pada sidang media berkenaan rampasan gading gajah di sini, hari ini.
Katanya, kes ketiga iaitu daun khat sebanyak 35.15 Kilogram (kg) yang bernilai RM 17,575 yang dirampas pada 14 Julai lalu di PMK.
“Daun khat terbabit dimuatkan dalam empat bungkusan yang tiba dari Addis Abba, Euthopia yang diikrar sebagai daun teh,” katanya.
Artikel disiarkan pada: Isnin, 1 Ogos 2016 3:38 PM
Sumber asal; http://www.hmetro.com.my/node/155797
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.