Tiga syarikat didenda RM6,000 gagal keluarkan invois GST

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Tiga buah syarikat masing-masing didenda RM6,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan gagal mengeluarkan invois cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut selepas syarikat Pusat Elektrik E&R Sdn. Bhd., yang diwakili pengarahnya, Lee Sung Lai, 53; syarikat Omega Vision Care diwakili pemiliknya, Ng Choon Hua, 55; dan syarikat Selvan Holding (M) Sdn. Bhd., diwakili pengarahnya K. Venootheran, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Pusat Elektrik E&R merupakan syarikat barangan elektrik, Omega Vision Care adalah syarikat optik dan Selvan Holding pula adalah syarikat jualan buku dan majalah sebagai berdaftar di bawah Akta GST 2014 yang membuat pembekalan bercukai didakwa tidak mengeluarkan invois cukai.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di syarikat masing-masing iaitu Pusat Elektrik E&R di No. 35G & 36G, Jalan Setiawangsa 11A, Taman Setiawangsa, di sini, pada pukul 2 petang, 14 Januari lalu.

Syarikat Omega Vision Care pula didakwa melakukan perbuatan tersebut di No. 31, Jalan Manis 6, Taman Segar Cheras, di sini, pada pukul 12 tengah hari, 7 Oktober tahun lalu manakala Selvan Holding didakwa mela­kukan perbuatan terbabit di Lot TC 015, Tingkat 3, Sungai Wang Plaza, Bukit Bintang pada pukul 1.10 petang, 3 Februari lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(2)(a) Akta GST 2014 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 96 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norliana Amran, Aznira Othman dan Ahmad Firdaus Ahmad Sufian manakala ketiga-tiga wakil syarikat tersebut tidak diwakili peguam.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/tiga-syarikat-didenda-rm6-000-gagal-keluarkan-invois-gst-1.406099

By |2016-11-12T17:10:02+08:00November 12th, 2016|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top