SHAH ALAM – Sebuah syarikat pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 11 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara Julai 2015 hingga Mei tahun ini.
Bagaimanapun, syarikat M.P. Travel & Tours Sdn. Bhd., yang diwakili pengarahnya Chow Lik Weng, 37; dan Joseph Kok Kee Meng, 44, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Kesemua 11 pertuduhan itu mendakwa syarikat tersebut gagal mengemukakan penyata GST bagi tempoh bercukai antara 1 Mei 2015 hingga 31 Mac 2016 sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 41(1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di JKDM, Pusat Pemprosesan GST, Aras 1 Blok A, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya antara 2 Julai 2015 hingga 3 Mei 2016 mengikut Seksyen 41(1) Akta GST 2014.
Jika sabit kesemua pertuduhan, syarikat itu boleh didenda RM550,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Setiap pertuduhan memperuntukkan denda RM50,000.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Khairunnisa Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Noor Farah Abdul Ghapor dan Ishraf Hakim Mohd. Nadzri.
Tiada kos jaminan ditawarkan dan Khairunnisa memohon perbicaraan kes itu dijalankan serentak. Hakim Ahmad Azhari kemudian menetapkan 23 November sebagai tarikh sebutan kes.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.