KOTA BHARU 14 Nov. – Jabatan Peguam Negara bercadang untuk menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan senjata api oleh semua agensi di bawah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) di seluruh negara.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, SOP sedia ada kebanyakan agensi terutama Kastam didapati masih kabur berhubung undang-undang penggunaan senjata api dalam kalangan anggota penguat kuasa.
“Pegawai penguatkuasaan masih kurang jelas dengan SOP tersebut jadi Jabatan Pegram Negara ingin mempelopori usaha ini dan berbincang dengan ibu pejabat Kastam.
“Selain berbincang, kita akan memberi nasihat serta merangka satu SOP baru agar pegawai penguatkuasa tidak teragak-agak dan takut menggunakan senjata api apabila diri diancam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Ramah Mesra Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Wisma JKDM, Padang Bongor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JKDM negeri, Mohd. Nasir Yusoff.
Pada 7 Oktober lalu, pegawai kastam, Anisah Ali, 54, parah selepas kenderaan dinaikinya dalam operasi dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas.
Anisah disahkan meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) – UTUSAN ONLINE
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/semak-semula-sop-senjata-api-1.407475
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.