KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan satu mekanisme baharu bagi mengesan peniaga yang cuba mengelak daripada membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST). Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata mekanisme itu akan memastikan setiap urus niaga premis berkenaan dihubungkan terus dengan sistem teknologi maklumat (IT) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sekali gus membolehkan pemantauan dijalankan secara lebih berkesan.
“Kita sedang memikirkan satu mekanisme, satu sistem di mana kita boleh meletakkan `dongle’ (peranti kecil) dalam mesin daftar tunai supaya setiap kali dia ‘key in’ daftar tunai, ia akan ‘link’ dengan kastam (JKDM). “Oleh itu tidak ada lagi isu peniaga hendak atau tidak hendak (memasukkan GST dalam bil)…bagaimanapun kita tidak boleh buat kepada semua (premis perniagaan) kerana ia sangat mahal, kita buat pada kes yang spesifik…ini yang kita sedang usahakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab celahan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) yang membangkitkan isu peniaga memberi pilihan kepada pembeli sama ada mahu memasukkan GST ke dalam invois atau sebaliknya. Johari berkata, pihaknya sudah mengarahkan 12,000 pegawai JKDM mempertingkatkan aktiviti penguatkuasan dan mengambil tindakan susulan jika ada menerima aduan atau berdepan masalah itu ketika mengunjungi mana-mana premis perniagaan.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.