KUALA LUMPUR 8 Sept. – Gara-gara memiliki rokok seludup pelbagai jenama, Isnin lalu, seorang pemilik kedai runcit didenda RM1,916 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur ‘Aminatul Mardhiah Md. Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Fauzi Jambari, 53, selepas dia mengaku bersalah memiliki 101 kotak rokok putih dan kretek pelbagai jenama antaranya Surya Gudang Garam, Nusantara Menthol Mild, LA lights, Canyon hijau dan Canyon merah yang kesemuanya bernilai RM191.60.
Rokok tersebut merupakan barang-barang dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012.
Bapa kepada lima anak yang bersekolah itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 12 tengah hari, 5 September lalu di premis perniagaan Fauzi Gas Enterprise, 18 & 20 GF, Pangsapuri Suci, Jalan Sri Jati 3 di sini.
Fauzi didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dibaca mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,832 (20 kali ganda nilai barang) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Muhammad Sobirin Mohd. Seman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pihak kastam telah membuat serbuan di premis perniagaan Fauzi Gas Enterprise dan kemudian mereka telah menjumpai beberapa kotak rokok pelbagai jenama milik tertuduh.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tertuduh tidak mempunyai sebarang dokumen yang menyatakan rokok tersebut diimport secara sah. – UTUSAN ONLINE
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/pemilik-kedai-runcit-miliki-rokok-seludup-didenda-1.380357
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.