PULAU PINANG 6 Sept. – Restoran nasi kandar tersohor di negeri ini, Nasi Kandar Line Clear diserbu sekumpulan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam ekoran aduan daripada pengguna berhubung kegagalan mengemukakan penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada pelanggan.

Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, sekumpulan anggota JKDM menyamar sebagai pelanggan restoran yang terletak di Jalan Penang di sini, bagi memantau aktiviti perniagaan restoran tersebut yang menjadi identiti negeri ini.
Penolong Pengarah (Unit Pengesanan Pendaftaran GST) JKDM negeri, Mohd. Imran Mohd. Roslan berkata, pemantauan pihaknya mendapati restoran berkenaan tidak mempunyai rekod bagi semua transaksi mereka. “Restoran Line Clear mendaftar dengan JKDM untuk mematuhi pelaksanaan GST.

“Ini bermakna pengusahanya perlu menggunakan perisian perakaunan atau sistem Point of Sales (POS) yang mengeluarkan invois cetak bersiri bagi mengelak­kan kekeliruan berlaku dalam kalangan pengguna mengenai GST,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut beliau, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada pengusaha restoran berkenaan cuba mengelak daripada membayar cukai.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Cukai Barangan dan Per­khidmatan 2014 kerana melakukan kesalahan berkaitan pengeluaran invois cukai. Jika sabit kesalahan, pengusahanya boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM30,000 atau dua tahun penjara atau kedua-­duanya. Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati restoran berkenaan tidak beroperasi seperti biasa dan usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengusahanya, Abdul Latiff Ali Thulkarnai juga tidak berjaya selepas beliau gagal dihubungi.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/restoran-nasi-kandar-line-clear-diserbu-jkdm-1.379517