BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan dengan jumlah termasuk cukai bernilai RM80 juta, sejak Coordinated Border Management (CBM) dilancarkan dua bulan lalu. Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Subromaniam Tholasy, berkata rampasan dilakukan di dua pintu sempadan iaitu di Pelabuhan Sepanggar, Sabah dan bangunan Sultan Iskandar di Johor. Katanya, barangan seperti rokok, minuman keras, tayar dan beras diseludup dalam 106 kontena yang melalui pintu masuk terbabit.

“Rampasan itu menunjukkan konsep CBM sangat berkesan berbanding sebelum ini kerana anggota penguat kuasa yang dipanggil unit khas CBM diletakkan di bahagian depan pintu masuk. “Berbanding sebelum ini hanya pegawai penaksir yang berada di hadapan. Selepas penguat kuasa ditempatkan, mereka akan terlebih dahulu dapat mengesan barangan yang mencurigakan serta belum lulus cukai,” katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, hari ini.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/195093