KUALA LUMPUR 19 Okt. – Langkah pakatan pembangkang ingin menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan Alternatif Malaysia disifatkan tidak realistik. Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, jika mereka mahu ‘sifarkan’ cukai yang diperkenalkan pada 1 April 2015 itu, pendapatan negara akan menghadapi krisis kerana kehilangan lebih RM30 juta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan, cadangan pembangkang yang mahu kerajaan membayar subsidi sebanyak RM250 bagi memastikan gaji minimum dipertingkatkan kepada RM1,500 juga tidak logik. “Mereka (pembangkang) tidak boleh sewenang-wenangnya mahu kita menghapuskan GST. Jika langkah itu dilaksanakan, dari mana kita hendak mendapatkan semula RM30 juta itu?

“Begitu juga dengan meningkatkan gaji minimum, mereka (pembangkang) perlu turut menyatakan secara jelas sumber untuk kita gunakan bagi membayar subsidi itu,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, belanjawan pembangkang itu dilihat tidak seimbang dan bersifat populis kerana mereka gagal mengemukakan fakta yang tepat.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO memberitahu, keadaan ekonomi dunia ketika ini menyaksikan kejatuhan harga minyak secara mendadak dan pelaksanaan GST membantu kerajaan menampung dan menguruskan negara. “Ia merupakan bajet populis yang hanya dibuat untuk rakyat memilih mereka, hakikatnya ia tidak berdasarkan kedudukan ekonomi semasa.

“Di samping itu, adalah tidak logik dan tiada kena mengena langsung untuk pembangkang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan,” katanya. Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengumumkan Belanjawan Alternatif Malaysia 2017 di bangunan Parlimen dengan mencadangkan beberapa perubahan antaranya menghapuskan GST, meningkatkan kadar bayaran gaji minumum dan menurunkan kadar tambang pengangkutan awam. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/terkini/hapus-gst-tidak-realistik-johari-1.396917