KOTA BHARU: Sebanyak 428,000 syarikat perniagaan yang berdaftar Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) sudah diaudit oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menerusi Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS). Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Subromaniam Tholasy, berkata kira-kira lima peratus atau lebih 300 pemilik syarikat perniagaan terbabit, masih gagal menyerahkan penyata bayaran GST. Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 3,000 kertas siasatan sudah dibuka dan lebih 300 pemilik syarikat akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

“Oleh itu kami kini sedang mengesan lebih 300 pemilik syarikat seluruh negara yang terbabit dalam pelbagai jenis perniagaan untuk dikenakan tindakan tegas termasuk dihadapkan ke mahkamah “Pemilik syarikat perniagaan itu termasuklah dalam bidang kecantikan dan kesihatan, restoran dan pembuatan yang tidak menyerahkan duit kutipan GST daripada pelanggan mereka sejak ia dilancarkan pada April tahun lalu,” katanya kepada media di pejabat KDRM Kelantan di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Kastam Negeri, Mohd Nasir Yusoff. Subromaniam berkata, hasil kajian pihaknya mendapati kira-kira 20 peratus daripada syarikat yang berdaftar dengan GST masih belum memahami sepenuhnya kewajipan membayar GST.

“Ada syarikat tidak mengemukakan penyata…sebab itu kami menubuhkan Ops CBOS untuk memberi kefahaman lebih menyeluruh mengenai GST kepada pemilik syarikat perniagaan. Katanya, sekiranya selepas khidmat nasihat diberikan kepada pemilik syarikat, mereka masih enggan mematuhi pembayaran GST, pihaknya terpaksa mengambil tindakan mahkamah.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/203871