IPOH: Seorang pemilik kedai telekomunikasi dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas lapan kesalahan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi Mei hingga Disember 2015. Hukuman terhadap Wong Kean Yik, 35, yang juga pemilik tunggal Sun Yi Telecommunication Trading diputuskan oleh Hakim Murtazadi Amran.

Hakim mengenakan denda RM5,000 bagi setiap kesalahan. Jika gagal membayar denda, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan bagi setiap kesalahan atau keseluruhan 48 bulan penjara bagi semua kesalahan. Pada 5 Oktober lalu, Kean Yik mengaku bersalah di mahkamah sama selepas lapan pertuduhan dibacakan yang dikenakan terhadapnya, namun memohon mahkamah menangguhkan hukuman kerana mahu mengumpulkan wang bagi membayar denda. Bagi semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu, dia didakwa gagal mengemukakan penyata GST dari Mei hingga Disember 2015 sebagaimana yang ditetapkan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, S Morgan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/203734