GEORGETOWN: Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 18 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dari April hingga Disember tahun lalu. Teoh Chin Ching, 65; Teoh Wee Let, 37, dan Teoh Evon, 35, yang juga pengarah syarikat Razortech Enterprise Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiganya didakwa gagal mengemukakan penyata GST dalam tempoh ditetapkan selama lapan bulan sejak 1 April hingga 1 Disember 2015. Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di Cawangan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Butterworth. Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 17 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Abd Malik Awang Kechik, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, SN Rajan. Semalam, Chin Ching dan Wee Let turut didakwa atas 24 pertuduhan sama bagi sebuah lagi syarikat dikendalikan mereka, Faito Racing Trend Sdn Bhd.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/197312