GEORGETOWN: Dua pengarah sebuah syarikat pengedar alat ganti motosikal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 24 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari April hingga Disember tahun lalu. Teoh Chin Ching, 65, dan Teoh Wee Let, 37, kedua-duanya pengarah Faito Racing Trend Sdn Bhd, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Hakim Ibrahim Osman.
Mereka didakwa gagal mengemukakan penyata dalam tempoh ditetapkan antara April hingga Disember 2015 di Cawangan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Butterworth.
Dua ahli perniagaan itu dituduh mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam, Abd Malik Awang Kechik dan A Uvarajan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/196883
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.