IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan penyeludupan dua juta batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2 juta serta membabitkan cukai RM2 juta.

Pengarahnya Dr Mohamad Saprin, berkata rampasan itu adalah kejayaan terbesar pihaknya pada tahun ini susulan pemeriksaan yang dilakukan anggota penguatkuasa di dua lokasi berasingan di Sitiawan, Perak.

“Hasil maklumat orang awam dan intipan penguatkuasa selama seminggu, pada kira-kira jam 11.50 pagi, JKDM berjaya merampas sejumlah kira-kira 2 juta batang rokok dengan harga dan nilai cukai kira-kira RM2 juta dalam pemeriksaan sebuah rumah di Sitiawan Perak pada 12 Februari lalu.

“Rumah itu kosong ketika pemeriksaan dijalankan dan memutuskan untuk membuat serbuan serta merampas rokok berkenaan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Wisma Kastam Ipoh di sini hari ini.

Mohamad berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti dalang di sebalik kes ini.

“Pihak JKDM Perak masih menyiasat adakah pemilik rumah berkenaan terbabit atau tidak dalam kes ini. Buat masa sekarang tiada tangkapan dibuat,” katanya

Beliau berkata, 20 Februari lalu JKDM turut merampas kira-kira, 6,888 tin dan 1,740 botol minuman keras di Cheras, Selangor dengan nilai cukai dan harga kira-kira RM125,000.

“Minuman keras ini dijumpai di dalam sebuah rumah dan di dalam lori berhampiran rumah berkenaan.

“Hasil maklumat daripada orang awam, intipan yang dibuat penguatkuasa ketika pemeriksaan dijalankan ke atas rumah dan lori berkenaan mendapati tiada individu di rumah serta di dalam lori dan memutuskan untuk merampas lori bersama minuman keras untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama. Jika disabit kesalahan boleh dihukum dibawah peruntukan Sek 135(1)(v)(aa).

“Bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai duti atau RM100,000.00 mengikut mana yang paling tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai duti atau RM500,000.00 mengikut mana lebih tinggi atau boleh dipenjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/02/658957/jkdm-patah-penyeludupan-rokok-bernilai-rm2juta