Pelabuhan Klang: Cubaan sindiket menyeludup sebanyak 40 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta di Pelabuhan Utara dekat sini, gagal apabila ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Selasa lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar apabila diserbu sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor, jam 3 petang itu.
“Hasil pemeriksaan terhadap empat kontena itu, kita mendapati terdapat sejumlah 40 juta batang rokok putih yang dianggarkan nilai berjumlah RM3.2 juta dengan nilai duti atau cukai kira-kira RM25.4 juta.
“Semakan manifes import (K4) mendapati kontena tersebut diikrar sebagai telekung dan palet terpakai (used pallet) bagi mengelakkan dari dikesan oleh pihak JKDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rokok diklasifikasi sebagai dagangan terlarang mengikut Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Katanya, kes disiasat mengikut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Kami juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/728097/rokok-putih-diikrar-sebagai-telekung

Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.