PELABUHAN KLANG: Cubaan sindiket menyeludup 10.9 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM1.09 juta menerusi Pelabuhan Barat, dekat sini, gagal apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan, berkata rokok putih itu dirampas menerusi serbuan dilakukan terhadap sebuah kontena pada 16 Jun lalu.

“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, JKDM Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) berjaya menyita sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada kira-kira jam 6.30 petang.

“Pemeriksaan mendapati kontena itu berisi 10.9 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM1.09 juta membabitkan cukai RM7.3 juta.

“Sindiket ini membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan rokok dengan mengikrar dagangan sebagai ‘general cargoes’ dalam daftar masuk bertujuan mengelak daripada permit import ketika pengimportan dan bagi mengelak dikenakan duti cukai tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati semua rokok disita diimport dari luar negara tanpa permit import sah dan tanpa membayar cukai serta duti ke atasnya.

Katanya, rokok diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mana ia memerlukan permit import diluluskan Ketua Pengarah Kastam.

“Perbuatan mengimport rokok tanpa permit import satu kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan- Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/07/838525/gagal-seludup-109-juta-batang-rokok-putih