PASIR MAS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas minuman keras, pakaian serta barangan runcit bernilai RM100,920 yang disembunyikan dalam sebuah gudang, di Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang, Selasa lalu.
Serbuan jam 6 petang oleh pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan Rantau Panjang membabitkan rampasan 2,478 botol dan 96 tin minuman keras pelbagai jenama selain pakaian yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Pengarahnya, Mohd Nasir Deraman, berkata hasil risikan dan maklumat awam, pasukan operasi berjaya mengesan sebuah lori jenis Hicom di sebuah gudang sebelum menahan seorang pemandu lelaki tempatan berusia 40-an.
Katanya, nilai anggaran bagi keseluruhan barang rampasan berjumlah RM100,920 dan anggaran cukai RM50,469.24.
“Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barang tanpa diikrar melalui pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Mereka akan menggunakan khidmat tonto bagi memerhatikan setiap gerak geri pegawai yang bertugas di pintu masuk ICQS Rantau Panjang serta kehadiran pihak berkuasa di pintu masuk negara.
“Sindiket penyeludupan ini akan membawa masuk barang-barang pada waktu puncak dan akan menyembunyikannya di gudang transit,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pergerakan barang yang belum lulus kastam itu akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk diedarkan dalam pasaran tempatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut
mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.