Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I (WPKL) mematahkan cubaan mengimport aloi ‘Titanium Forgings’ dianggarkan bernilai RM3.2 juta menerusi serbuan ke atas sebuah kontena di hadapan gudang di Pelabuhan Barat dekat sini pada 27 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, serbuan 12 tengah hari itu dilaksanakan pasukan Operasi Unit I (WPKL) bersama wakil agensi lain iaitu Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (Stride), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Sekretariat Perdagangan Strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena bersaiz 20 kaki itu diikrarkan dalam Bill of Lading sebagai dagangan ‘Titanium Forgings’ dengan berat anggaran 25,067 kilogram (KG) yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta serta anggaran cukai atau duti sebanyak RM320,000.
“Pemeriksaan dokumen dan fizikal mendapati pengimportan berkenaan sudah melanggar peraturan yang diperuntukkan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perdagangan Strategik 2010 iaitu mengeksport, memindahkan atau membawa dalam transit barang strategik tanpa permit yang dikeluarkan mengikut akta itu.
“Mengikut akta itu, bahan khas dan perkakas berkaitan, Perintah Perdagangan Strategik (Barang Strategik) 2010 memerlukan permit dari Jabatan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti),” katanya pada sidang media di Wisma JKDM Pulau Indah dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Wahabi berkata, pengimport atau ejen perkapalan gagal mengemukakan Borang Kastam 5 bagi tujuan pemindahan penghantaran (trans shipment) dari negara asal dan disyaki menggunakan negara ini sebagai pusat transit sebelum dihantar atau dipindahkan ke negara lain.
Katanya, modus operandi itu dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa kerana membawa dagangan strategik yang memerlukan permit import yang sah.
“Destinasi dagangan berkenaan adalah disyaki untuk dihantar ke sebuah negara di Timur Tengah dan bahan itu dipercayai boleh digunakan untuk pembuatan bahagian atau komponen bagi peralatan ketenteraan atau WMD (weapon of mass destruction).
“Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 iaitu Mengeksport, memindahkan atau membawa dalam transit barang strategik tanpa permit di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perdagangan Strategik 2010.
“Pihak kami juga sedang mengesan pemilik atau ejen pengimport yang terbabit bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.