JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas alat ganti kenderaan dan minuman keras dipercayai diseludup bernilai lebih RM2.6 juta dalam dua operasi berasingan di sini.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad, berkata cubaan menyeludup barangan berkenaan membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 56 tahun yang juga pemandu dan kelindan lori.

Beliau berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 5.30 petang pada 30 September lalu, pihaknya merampas 9,364 alat ganti kenderaan mewah bernilai RM363,340, selain lori kontena bernilai RM80,000 dengan nilai duti dan cukai berjumlah RM145,763.25.

“Seorang pemandu treler berusia 51 tahun turut ditahan menerusi pemeriksaan di tepi Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir.

“Modus operandi mereka adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan bagi mengelak dikenakan cukai yang tinggi. Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini.

Katanya, dalam operasi kedua kira-kira jam 9 pagi pada 8 Oktober lalu pula, pihak berkuasa itu menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama dianggarkan 12,988.80 liter (17,000 botol) bernilai RM324,720 di Plaza Tol Kempas arah utara di sini.

“Jumlah duti dan cukai barangan dirampas adalah RM1.7 juta. Turut dirampas lori bernilai RM100,000.

“Siasatan mendapati, sindiket ini mengikrar barangan dibawa sebagai minuman ‘mineral nutrien mixture’ bagi mengelak daripada dikesan agensi penguatkuasaan dan mengaburi pihak berkuasa.

“Dua lelaki tempatan berusia 34 dan 56 tahun iaitu pemandu dan kelindan lori ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sumber: bharian.com.my/berita/kes/2021/10/877085/kastam-rampas-alat-ganti-kenderaan-arak-rm26-juta