KUALA LUMPUR: Penyeludupan dadah menerusi kurier ke dalam negara ini dikesan semakin membimbangkan berikutan pertambahan jumlah rampasan, tahun ini.

Statistik tahun ini sahaja, sebanyak 11.234 kilogram dadah bernilai RM280,264.98 dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Malah, bulan ini JKDM Zon Tengah menggagalkan penyeludupan sembilan bungkusan dadah jenis kanabis seberat 224.4 gram bernilai RM4,565.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Johari Alifiah, berkata kiriman bungkusan kecil berisi dadah itu diisytihar sebagai baju, beg vakum, barangan kosmetik, penyambung rambut, permainan video dan hadiah.

“Kes diperoleh hasil daripada imbasan ke atas bungkusan yang dikirim melalui perkhidmatan kurier luar dan disyaki dikirim dari Eropah dan penerimanya adalah individu yang berada di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dalam sidang media itu, Johari berkata, JKDM turut mematahkan sindiket pengedaran dadah bernilai RM244,995 dengan menahan seorang lelaki dan dua wanita warga asing di Dataran Ocean, Lebuh Gopeng, Klang, Selangor.

“Dadah jenis syabu seberat 3.5 kilogram dianggar bernilai RM195,195; 0.555 kilogram ketamin (RM27,750) dan 735 biji ekstasi (RM22,050) ditemui dalam serbuan itu,” katanya.

Dalam operasi berasingan di Selangor, JKDM turut membuat rampasan minuman keras serta rokok yang dianggarkan bernilai RM52,096.04, yang membabitkan duti berjumlah RM113,553.19.

“Malah cubaan menyeludup minuman keras turut dipatahkan di Pelabuhan Klang apabila JKDM menemui sebuah kontena mengandungi minuman itu yang dianggarkan bernilai RM76,500, membabitkan nilai duti sebanyak RM437,580,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/07/712835/seludup-dadah-melalui-kurier