MUAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan dua sindiket pemprosesan minuman keras tiruan bernilai RM227,357 di dua lokasi berasingan di Muar pada bulan lalu.
Kejayaan itu adalah hasil dua serbuan dijalankan pihaknya menerusi Ops Benteng 2020 pada 5 Jun di sebuah premis tidak bernombor dekat Tanjung Gading dan Ops Pintasan 2020 di sebuah kilang di Tangkak pada 28 Jun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah, berkata hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama, kotak botol, setem cukai kastam, label minuman keras dan peralatan memproses.
“Bagi kes di Tanjung Gading, jumlah rampasan dianggarkan RM6,194 dengan jumlah cukai jika ditaksir sebanyak RM11,770 manakala di Tangkak pula, jumlah rampasan adalah RM72,652 dengan cukai sebanyak RM136,740.
“Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan disyaki pekerja di premis berkenaan yang melakukan aktiviti pembotolan, pelabelan dan pembungkusan minuman keras,” katanya pada sidang media sini, hari ini.
Johari berkata, semua suspek ditahan direman selama 15 hari bermula 29 Jun lalu dan disiasat mengiktu Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976.
Sementara itu katanya, Kastam Johor turut merampas 437 tayar pelbagai saiz dan jenama di Senai pada 26 Jun lalu yang dianggarkan bernilai RM122,550.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.