KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia menumpaskan cubaan penyeludupan rokok rentas sempadan bernilai RM2.24 juta membabitkan 20.4 juta batang rokok di Pelabuhan Labuan, Sabah, pada awal bulan ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alfiah, berkata cubaan itu digagalkan selepas pihaknya menyita dua kontena muatan rokok dengan cukai dan duti import dianggarkan berjumlah RM14.45 juta dalam operasi pada 10 Julai lalu.
“Siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai lesen import,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti dua syarikat dan seorang ejen kastam yang disyaki menguruskan ikrar dagangan dalam kontena itu.
“Beberapa individu lain yang disyaki terbabit juga sedang giat dikesan untuk membantu siasatan,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019. – BERNAMA
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/07/713981/kastam-rampas-rokok-seludup-rm2-juta-di-labuan
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.