NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM64,560 yang disorokkan dalam pen penanda disyaki untuk dihantar ke luar negara.
Ia berikutan penahanan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun ketika berurusan di kaunter perkhidmatan kurier di Sentul, Kuala Lumpur, oleh sepasukan anggota Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM, kira-kira jam 3.30 petang Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah, berkata dalam operasi itu, sebuah kotak diikrarkan sebagai alat tulis turut dirampas.
“Hasil pembongkaran dan siasatan ke atas kotak terbabit berjaya menemui bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan dalam pen penanda pelbagai warna dengan anggaran berat kasar keseluruhan 854 gram (g) bernilai RM34,160.
“Siasatan awal mendapati kotak berkenaan akan dihantar ke salah sebuah negara di Asia Timur.
“Namun, kecekapan pihak kastam berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah ke luar negara oleh sindiket melalui penahanan lelaki terbabit,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, Johari berkata, anggota Cawangan Narkotik telah melakukan serbuan ke atas kediaman lelaki itu di Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Hasilnya, beliau berkata, pasukan menemui sejumlah bahan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine yang juga disorokkan dalam pen penanda dengan anggaran berat kasar 760g bernilai RM30,400.
“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan dadah jenis methamphetamine dirampas daripada suspek ialah sebanyak 1,614g dianggarkan bernilai RM64,560,” katanya.
Johari berkata, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula 24 Oktober hingga 30 Oktober ini.
Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 sebatan.
“Kita juga sedang mengenal pasti bekalan dadah diperoleh suspek dan kemungkinan ia ada kaitan dengan rangkaian sindiket lain,” katanya.
Beliau sekali gus meminta orang awam terus bekerjasama menyalurkan maklumat, termasuk berkaitan kegiatan penyeludupan dadah, dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.