BUKIT MERTAJAM : Menjual rokok seludup secara atas talian, pada waktu malam dan membuat penghantaran terus ke rumah antara taktik digunakan peniaga bagi mengaburi mata penguat kuasa.

Bagaimanapun, kegiatan itu akhirnya terbongkar dalam operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang di sekitar Permatang Pauh, di sini, malam tadi.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Saidi Ismail, berkata pihaknya mula mengesan taktik digunakan peniaga terbabit dalam tempoh tiga bulan ini sejak mengadakan operasi pada 9 Januari hingga 2 April lalu.

Katanya, pihaknya berjaya mendedahkan taktik perniagaan itu menjadi modus operandi bagi mengelak kegiatan mereka diketahui, sepanjang tempoh itu hingga malam tadi.

“Ini dapat dilihat apabila mereka menjual rokok seludup dengan harga murah pada waktu malam, selain menjalankan penjualan atas talian serta membuat penghantaran ke rumah.

“Strategi digunakan sentiasa berubah-ubah namun ia tidak mampu mengaburi pihak berkuasa memandangkan kita sentiasa bekerja tidak kira waktu pagi mahupun malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Rokok dan Minuman Keras (RMK) bersama Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP), di sini.

Dalam serbuan itu, JKDM merampas tiga karton rokok seludup di beberapa kedai runcit dan premis menjual buku.

Saidi berkata, JKDM negeri merampas lebih 100,000 kotak rokok dengan nilai RM130,000 membabitkan cukai hampir RM800,000, sepanjang tempoh tiga bulan mengadakan operasi.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah JIMPP Izham Idris, berkata dalam operasi sama, seramai sembilan warga asing ditahan masing-masing lapan Indonesia dan seorang Myanmar.

“Semua mereka berusia antara 25 hingga 40 tahun, ditahan kerana didapati bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa.

“Kita menahan mereka untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/04/551590/taktik-peniaga-jual-rokok-seludup-waktu-malam-terbongkar