MIRI: Segelintir pengusaha kedai serbaneka 24 jam di Sarawak dikesan menjual bir dan arak seludup secara terbuka semata-mata mahu mencari untung ‘atas angin’.
Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di sebuah premis perniagaan di Centerpoint Commercial Centre, di sini, kelmarin.
Turut ditahan seorang individu, dipercayai penyelia premis berkenaan, manakala 755.63 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas untuk siasatan.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata dalam serbuan jam 5 petang itu, keseluruhan minuman keras dirampas bernilai RM3,314.79, dengan jumlah cukai cuba dielakkan mencecah RM11,808.61.
“Penahanan suspek adalah mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 bagi tujuan membantu siasatan, termasuk mengenalpasti dari mana premis terbabit memperoleh bekalan minuman keras haram berkenaan.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah cukai (yang cuba dielakkan) atau RM100,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, denda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukao kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana jumlah lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, juga boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
Sharifah Halimah berkata, pihaknya akan terus menggandakan usaha memerangi sebarang bentuk kes penyeludupan rokok dan arak di negeri ini.
Malah, kerjasama orang ramai juga amat diperlukan bagi membantu usaha berkenaan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ jabatan itu di kawasan persekitaran masing-masing.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/04/553913/cari-untung-atas-angin-jual-bir-arak-seludup
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.