KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan pertambahan sebanyak 27 peratus iaitu RM7 bilion untuk duti, cukai bagi rokok dan minuman keras pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam, berkata pada tahun lepas, pihaknya berjaya memperoleh RM5.5 bilion hasil kutipan duti, cukai bagi kedua-dua barang berkenaan.

“Untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini, hasil kutipan cukai untuk minuman keras meningkat sebanyak 30 peratus.

“Kami yakin kutipan hasil ini (minuman keras) dijangka terus meningkat pada bulan berikutnya,” katanya pada sidang akhbar prestasi Kastam banteras penyeludupan rokok dan minuman keras, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi kutipan cukai untuk rokok tidak menunjukkan peningkatan yang ketara dan Kastam yakin dalam masa akan datang ia menunjukkan peningkatan.

“Peningkatan ini adalah hasil daripada penguatkuasaan yang lebih ketat dan pelaksanaan pindaan undang-undang yang telah berkuat kuasa.

“Daripada aspek penguatkuasaan, untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini, sejumlah 325 kes telah berjaya direkodkan melibatkan rokok dan minuman keras,” katanya.

Beliau berkata sejumlah hampir 100 juta batang rokok dan 228,000 liter minuman keras dirampas melibatkan nilai dan cukai berjumlah lebih RM100 juta.

Subromaniam berkata, membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras menjadi agenda utama jabatan itu bagi memastikan hasil negara dapat ditingkatkan.

“Jumlah kes yang dicatat menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding bulan pertama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 148 pertuduhan telah dibuat dengan 74 mengaku bersalah,” katanya. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/02/535948/kastam-sasar-rm7-bilion-duti-cukai-rokok-dan-arak