PETRA JAYA: Sebanyak 18 kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM4.74 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi khas sekitar Bandaraya Kuching dan Samarahan, baru-baru ini.
Operasi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat hari bermula 9 Julai lalu, bertujuan membanteras penyalahgunaan kemudahan dan penyeludupan kenderaan asing ke Sarawak.
Semua kenderaan terbabit yang dibeli di Brunei, dipercayai untuk mengelak dikenakan duti import.
Antara kenderaan dirampas ialah masing-masing sebuah Ferrari, Aston Martin, Bentley, Lamborghini dan Range Rover, Hummer, Chevrolet, Audi, Mercedes dan Lexus.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak di sini, hari ini, Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abd Hamid, berkata anggaran jumlah nilai sitaan adalah RM4.74 juta dengan jumlah duti cukai RM8.15 juta.
Katanya, rampasan dilakukan kerana semua kenderaan itu berada di Sarawak lebih tiga bulan dan ia juga bertujuan mengekang penyalahgunaan kemudahan dan penyeludupan kenderaan asing ke Sarawak.
“Kami melaksanakan operasi ini selepas pemantauan setahun. Risikan mendapati ada kenderaan mewah itu berada di Sarawak setahun berbanding tempoh dibenarkan hanya tiga bulan.
“Seramai 18 pemilik kenderaan terbabit dikenakan bayaran jaminan RM5,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Merujuk Butiran 13, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, pengecualian hanya diberikan kepada warga asing ataupun warganegara Malaysia yang berstatus Penduduk Tetap (PR).
Ataupun memiliki permit kerja yang sah di negara asing untuk memandu kenderaan yang didaftarkan oleh pihak berkuasa negara itu dengan syarat kenderaan itu hendaklah dieksport semula dalam tempoh tiga bulan dari tarikh ia dibawa masuk.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) dan Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 yang kesalahan awal yang dikenal pasti ialah tinggal melebihi tempoh ditetapkan, penggunaan pas kenderaan yang disyaki palsu dan beberapa pelanggaran peruntukan di bawah akta itu.
Beliau semua pemilik kenderaan itu adalah warganegara Malaysia, namun enggan mendedahkan sama ada orang kenamaan antara individu ditahan dalam operasi khas berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya, pemantauan dan pengumpulan maklumat oleh SPRM mendapati jumlah kenderaan asing khususnya dari Brunei yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan masih berleluasa.
“Kenderaan itu disyaki berada di bandar utama Sarawak terutama di Bandaraya Kuching dan daerah Samarahan,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/07/589021/kastam-rampas-18-kenderaan-mewah
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.