ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 100,512 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.01 juta termasuk nilai cukai dalam serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, minggu lalu.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Johari Alifiah, berkata hasil pemeriksaan pada jam 10.15 pagi, 10 Oktober lalu, pihaknya menemui minuman keras terbabit dimuatkan ke dalam dua kontena.

Katanya, penyeludup didapati membuat ikrar tidak benar di dalam Borang Kastam 1 selain maklumat barang dagangan diikrar sebagai kelengkapan pendingin hawa.

“Hasil intipan mendapati kontena yang diimport dari Jepun itu sudah berada di pelabuhan terbabit lebih daripada 48 jam.

“Berikutan itu, kita melakukan pemeriksaan lanjut dan menemui minuman keras yang dipercayai akan dijual di pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Kedah di sini, hari ini.

Perbuatan mengimport barang larangan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan bagi kesalahan pertama, pelaku boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan dengan menghubungi JKDM di talian bebas tol 1-800-88-8855.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/618444/jkdm-kedah-rampas-minuman-keras-lebih-rm1-juta