DENGKIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 20.6 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai RM16.06 juta, termasuk jumlah duti dan cukai.
Kejayaan itu dicapai menerusi operasi yang dilakukan pada 11 Oktober lalu dengan melakukan pemeriksaan ke atas dua kontena yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim, berkata pemeriksaan ke atas borang Kastam 1 (Import) mendapati barangan dalam kontena terbabit diikrar sebagai ‘Printed Circuit Board’ dan ia berbeza dengan isi kandungan fizikal yang ditemui.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket terbabit adalah membuat pengisytiharan Borang Kastam 1 (Import) yang tidak benar dari segi butiran dagangan.
“Borang berkenaan juga dihantar untuk pelepasan kastam sebelum kontena terbabit tiba di pelabuhan bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak kastam. Dipercayai kontena berkenaan dari Hong Kong.
“Ini adalah modus operandi yang sering digunakan oleh mereka yang menjalankan kegiatan ini iaitu ikrar barangan lain pada borang, tetapi barang lain diletakkan dalam kontena,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Kastam di sini, hari ini.
Paddy berkata, dalam operasi terbabit pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 40 tahun kerana disyaki menguruskan pengikraran dagangan kontena terbabit.
“Dua lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.
Mengikut akta itu, sekiranya bersalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.