KUBANG PASU 6 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas wang tunai berjumlah RM300,000 yang disyaki tidak diisytihar serta tidak mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas menahan sebuah van di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, bulan lalu.

Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata, van bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu lelaki warganegara jiran tersebut berusia 43 tahun dan penumpang rakyat Malaysia berusia 63 tahun yang merupakan seorang peniaga ditahan ketika melalui lorong pemeriksaan kenderaan di kompleks tersebut kira-kira pukul 10.45 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam menemui wang tunai berjumlah RM100,000 yang disembunyikan di dalam papan pemuka van tersebut.

“Wang yang ditemui itu disyaki tidak diisytiharkan kepada JKDM dan tidak mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan menahan dua lelaki terbabit,” katanya, di sini hari ini.

Johari memberitahu, anggota JKDM Bukit Kayu Hitam menahan seorang lagi lelaki warganegara Thailand selepas didapati cuba memecah masuk dan menggeledah van disita yang diletakkan sementara di tempat letak kereta jabatan di ICQS tersebut dengan menggunakan kunci pendua kira-kira pukul 3.30 petang pada hari sama.

“Susulan penahanan lelaki itu, kita telah menemukan lagi RM150,000 yang diletakkan di dalam beg silang yang terdapat dalam van tersebut. Pemeriksaan lanjut menemukan RM50,000 lagi dalam papan pemuka atas ruang penumpang.

“Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas dalam van tersebut ialah RM300,000 dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui aktiviti ketiga-tiga lelaki terbabit di kawasan sempadan,” katanya.

Johari memberitahu, ketiga-tiga lelaki terbabit dituduh pada 15 Mei lalu di Mahkamah Majistret Jitra, di sini bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

“Lelaki warga Malaysia dibebaskan dengan jaminan RM10,000 manakala dua warga Thailand dibebaskan dengan jaminan RM20,000 setiap seorang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, JKDM Kedah juga merampas sebanyak 5,210,000 batang rokok putih dan kretek seludup dalam satu serbuan di sebuah premis yang tidak berpenghuni di Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 10.30 malam pada 24 Mei lalu.

“Nilai rokok yang dirampas itu bernilai RM693,000 manakala duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM2,950,980,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kastam-cekup-lelaki-warga-asing-seludup-keluar-wang-tidak-diisytihar-1.686566