SIBU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mematahkan cubaan menyeludup arak dan rokok ke negeri ini susulan rampasan 45 kontena dipercayai dari Vietnam bernilai kira-kira RM17.5 juta, baru-baru ini.
Kejayaan itu susulan serbuan di sebuah jeti persendirian di Jalan Salim-Stabau, di sini, 5 September lalu, bertindak atas maklumat risikan dan aduan awam.
Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, rampasan itu adalah yang terbesar direkodkan di Sarawak sepanjang tahun ini, terutama membabitkan jumlah rampasan dan nilai cukai.
“Sebuah kapal penunda dan sebuah kapal tongkang yang membawa kontena berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena diatas tongkang itu mendapati 44 kontena itu mengandungi minuman keras, manakala sebuah lagi kontena 21,250 karton rokok putih yang cuba diseludup masuk ke Sarawak.
“Keseluruhannya, nilai cukai yang cuba dielakkan mencecah RM14.3 juta dan ia satu kehilangan hasil cukup besar kepada negara,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Selain 45 kontena itu, turut dirampas 400 kotak wain seludup di sebuah gudang persendirian tidak jauh dari jeti berkenaan.
“Nilai cukai bagi wain yang dirampas itu mencecah RM346,946. Ia adalah jumlah rampasan arak dan rokok seludup terbesar di Sarawak untuk tahun ini.
“Kita turut menahan tujuh suspek warga Indonesia yang juga kru kapal berkenaan untuk membantu siasatan, selain seorang lelaki warga tempatan berhubung kes penemuan wain seludup di gudang persendirian itu,” katanya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati barangan itu dibawa masuk melalui Ho Chi Minh, Vietnam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.kerana memiliki barang larangan dan belum lulus pemeriksaan kastam.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya di bawah akta sama,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/09/473531/arak-rokok-seludup-rm175-juta-dirampas
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.