KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas kira-kira 8,000 kilogram (kg) sisik tenggiling dianggar bernilai lebih RM100 juta yang cuba diseludup keluar melalui Pelabuhan Sepanggar, di sini.
Sisik tenggiling itu dipercayai cuba diseludup ke China menggunakan 226 karung guni yang diletak dalam dua kotena diikrar sebagai cengkerang haiwan.
Pengarah JKDM Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok, berkata setiap karung berisi antara 30 hingga 50 kg sisik tenggiling dan pihaknya percaya ia diperoleh daripada 16,000 tenggiling.
“Sisik tenggiling itu dipercayai untuk dieksport ke China dengan harga di pasaran gelap dianggar AS$3,000 (kira-kira RM12,800) sekilogram,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sabah di sini, hari ini.
Janathan berkata, susulan rampasan itu, seorang suspek lelaki berusia 43 tahun dipercayai warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
“Ini adalah kejayaan terbesar JDKM Sabah setakat tahun ini dalam menggagalkan cubaan menyeludup sisik tenggiling dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata, import sisik tenggiling dilarang mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 Butiran 1, Jadual Ketiga Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Sisik tenggiling tergolong dalam larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/08/311055/sisik-tenggiling-rm100j-tak-sempat-diseludup
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.