KUALA LUMPUR: Pusat Sasaran Nasional (NTC), agensi di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berupaya mengesan transaksi meragukan yang dilakukan sebarang entiti yang terbabit dengan unsur penipuan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, berkata jika didapati berlaku penyelewengan, termasuk pengisytiharan sebarang transaksi kepada JKDM melebihi nilai sebenar, NTC akan menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“JKDM sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengesan pelbagai penipuan yang dilakukan sebarang entiti yang memiliki pelbagai tujuan atau mungkin menaja keganasan,” katanya kepada media di luar Persidangan Kemuncak Anti-Pembiayaan Keganasan (CTF) ke-3 di sini, hari ini.

Subromaniam berkata, JKDM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sebaliknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Bank Negara Malaysia  (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika wujudnya sebarang keraguan dalam transaksi membabitkan jabatan itu.

“Kami tegas dalam perkara ini. Sebagai contoh, jika ada pihak yang membawa masuk wang tunai membabitkan jumlah melebihi AS$10,000 ke dalam negara, kami akan mengira wang terbabit secara terperinci meskipun ia mengambil masa beberapa hari.

“Langkah ini untuk mengelakkan pihak berkenaan membuat pengisytiharan palsu. Contohnya, mereka isytihar bawa masuk AS$4 juta sedangkan nilai sebenar adalah AS$1 juta.

“Jika tiada ketegasan di sini, mungkin pihak berkenaan akan membawa balik semula baki AS$3 juta dari dalam negara ini sebagai satu tindakan pengubahan wang haram untuk pelbagai tujuan, termasuk membiayai keganasan,” katanya.

Beliau berkata, tidak hanya wang tunai diberi tumpuan oleh JKDM, malah barangan lain juga akan dinilai jika ia menimbulkan unsur keraguan munasabah.

“JKDM juga akan menilai transaksi eksport syarikat jika meragukan. Contohnya, syarikat tidak terbabit dalam pertanian tetapi mengeksport baja. Jika menimbulkan curiga, kami akan rujuk pihak berkuasa berkaitan” katanya.

Subromaniam berkata, pelbagai cara digunakan pihak tidak bertanggungjawab menerusi perdagangan.

“Jika mereka mengisytiharkan nilai barangan berlipat kali ganda daripada nilai sebenar, kita mungkin boleh klasifikasikan ia sebagai perdagangan berasaskan penggubahan wang haram,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353966/ntc-berupaya-kesan-transaksi-meragukan