JKDM rampas sisik tenggiling bernilai RM4.36 juta

SEPANG 27 Nov.-Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan dua kes penyeludupan sisik tenggiling seberat 337 kilogram (kg) yang bernilai RM4.36 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 dan 17 November lalu.

Pengarah JKDM KLIA, Abdul Wahabi Abdullah berkata, bagi kes pertama, anggota kastam di Pusat Mel dan Kurier KLIA telah menahan lima kotak sisik tenggiling seberat 125.46 kg bernilai RM1.62 juta yang ingin dieksport secara pos ke Hong Kong dari Sabah dan Sarawak.

“Bagi kes kedua pada 17 November pula, sebanyak lapan kotak sisik tenggiling seberat 211.54 kg bernilai RM2.73 juta ditahan selepas cuba dieksport secara pos ke Hong Kong dari Sabah dan Sarawak. Kita mengesyaki penyeludupan ini didalangi oleh sindiket yang sama.

“Siasatan awal mendapati sisik tenggiling yang dirampas itu dicatatkan sebagai pakaian kanak-kanak di dalam surat muatan udara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahabi, sisik tenggiling adalah dilarang pengeksportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 786) kecuali dengan permit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda minimum 10 kali nilai atau maksimum 20 kali ganda daripada nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau pun kedua-duanya sekali.

“Individu yang terlibat dalam kes ini telah dikenalpasti dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek-suspek yang lain. JKDM KLIA akan membuat tangkapan terdekat dan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan katanya, JKDM KLIA dalam Ops Dagang juga berjaya mematahkan dua kes penyeludupan rokok bernilai RM304,000 yang  melibatkan cukai sebanyak RM2.66 juta pada 24 dan 25 November lalu di KLIA.  – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-jkdm-rampas-sisik-tenggiling-bernilai-rm4-36-juta-1.561617

 

By |2017-11-29T07:23:55+08:00November 29th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top