KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan kerjasama pihak Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam memantau pembabitan pegawai agensi penguat kuasa yang melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan mercun dan bunga api di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, kerjasama itu memang diperlukan kerana SPRM tidak mampu bergerak sendirian dalam memerangi kegiatan rasuah. “Sudah tentu kita akan beri kerjasama sepenuhnya dengan kastam dalam isu mercun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Sahabat SPRM di pusat membeli-belah Times Square, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada SPRM sudah dimaklumkan mengenai kerjasama itu, Dzulkifli berkata, beliau belum mengetahui mengenai perkara itu dan akan membuat semakan. Terdahulu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam, berkata JKDM sedang melakukan pemantauan bersama SPRM dalam mengesan pembabitan orang dalam terutama pegawai agensi penguat kuasa dalam melindungi aktiviti penjualan mercun.
Selain itu pemantauan turut dilakukan terhadap ejen perkapalan di setiap pelabuhan kerana ada yang didakwa mengemukakan dokumen palsu pengisytiharan barangan kontena bagi mengaburi pihak berkuasa.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.