KUALA LUMPUR: Kerjasama di antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dapat memastikan perkongsian data dilakukan untuk menjalankan pengesahan dan memastikan pematuhan percukaian.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) antara dua agensi itu juga berjaya membantu meningkatkan prestasi dan hasil kutipan cukai.
Pada masa sama, beliau berkata, perkongsian berkenaan turut dapat menambah baik sistem percukaian negara.
“Melalui perkongsian maklumat ini, kedua-dua agensi dapat membuat padanan data yang diperoleh dengan data yang dimiliki. Ini supaya tindakan bersesuaian dan tepat dapat diambil terhadap pembayar cukai,” katanya.
Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) perkongsian maklumat LHDN-Kastam di sini, hari ini.
LHDN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah, manakala Kastam oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam.
Johari berkata, kerjasama itu juga untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan aktiviti penguatkuasaan serta pematuhan cukai secara bersama.
“Ia juga dapat membantu pasukan petugas Collection Intelligence Arrangement atau Taskforce CIA yang ditubuhkan tahun lalu dalam meningkatkan keberkesanan pematuhan.
“Selain itu, ia dapat menangani ketirisan cukai di samping meneroka ekonomi pasaran gelap dan seterusnya meningkatkan hasil negara,” katanya.
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.