SEREMBAN: Kastam merampas 150,000 kotak rokok yang dipercayai mengelak daripada dikenakan cukai berjumlah RM2.1 juta.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Jaapar, berkata dalam operasi jam 6 petang pada 13 November lalu di Kompleks MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), adalah hasil risikan pasukan itu selama dua minggu.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati rokok bernilai RM240,000 yang diisytihar sebagai barangan am dan pelbagai, dibawa masuk dari Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Vietnam.

“Ketika serbuan dijalankan, rokok itu baru sahaja melepasi proses dokumentasi di terminal kargo. Semua rokok itu kemudian disita kerana dipercayai diimport tanpa melalui prosedur pengimportan sah.

“Siasatan lanjut terhadap sebuah syarikat tempatan yang membawa masuk rokok itu pula mendapati ia tidak wujud dan hingga kini pihaknya masih mengesan sindiket yang terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Abdullah berkata, rokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan yang ketika ini mendapat permintaan tinggi, kerana harganya lebih murah iaitu sekitar RM7 hingga RM8 sekotak.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan seperti rokok, dadah, minuman keras dan mercun diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/11/353004/kastam-rampas-rokok-elak-cukai-rm21j