Kastam rampas rokok, tembakau libatkan cukai lebih RM2.2 juta

SEPANG 10 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebanyak 2,560 batang rokok kretek jenama L.A Light dan serbuk tembakau kunyah bernilai lebih RM400,000 di pintu utama Kompleks Kargo, Ahad lalu.

Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA), Datuk Hamzah Sundang berkata, kesemua bahan rampasan menerusi Operasi Kordinasi Pengurusan Sempadan (CBM) itu melibatkan cukai bernilai lebih RM2.2 juta.

Menurutnya, semua rokok dan serbuk tembakau yang tidak memiliki dokumen ikrar kastam yang sah itu diseludup dari negara jiran dipercayai untuk pasaran di negara ini.

“Ahad lalu, anggota kastam KLIA Cawangan Import dan Zon Bebas menahan tiga buah lori dan tiga suspek warga tempatan yang berumur antara 26 dan 34 tahun ekoran membawa muatan rokok dan serbuk tembakau yang belum lulus kastam.

“Ketiga-tiga suspek telah direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo di sini hari ini.

Hamzah berkata, nilai bagi ke­seluruhan rokok kretek L.A Light itu ialah RM307,200 melibatkan cukai RM1.8 juta manakala serbuk tembakau kunyah seberat 7,560 kilogram bernilai RM105,840 itu melibatkan cukai lebih RM412,000.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan.

Beliau berkata, sepanjang Op CBM dijalankan di Zon Perdagangan Bebas KLIA untuk tahun ini, sebanyak 30 kes telah dicatatkan dengan 29 telah dikompaun dan satu kes diambil tindakan di mahkamah.

“Daripada kesemua kes itu, nilai cukai yang berjaya diperoleh untuk tahun ini menerusi CBM bagi tempoh 15 Januari hingga 6 Mac lalu adalah lebih RM295 juta.

“Ia meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tahun lalu iaitu lebih RM233 juta bagi tempoh yang sama,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kastam-rampas-rokok-tembakau-libatkan-cukai-lebih-rm2-2-juta-1.455205

By |2017-03-13T14:34:52+08:00March 13th, 2017|0 Comments

Leave A Comment

Go to Top