SEPANG 2 Jun- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor selepas merampas lapan kontena yang mengandungi komponen mesin judi pada 16 dan 17 Mac lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk T. Subromaniam berkata, rampasan itu dibuat selepas pihaknya bertindak atas maklumat risikan dan Bahagian Penguatkuasaan JKDM mendapati kelapan-lapan buah kontena itu mengandungi komponen yang boleh menghasilkan kira-kira 1,227 buah mesin judi bernilai RM6.58 juta.
Beliau berkata, modus operandi kes ini ialah membuat pengikraran yang tidak benar di dalam bil muatan ke atas barangan yang memerlukan permit pengimportan, mesin judi itu diikrar sebagai perabot bagi mengelak daripada mengemukakan permit.
“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM6.58 juta dan cukai sebanyak RM2.48 juta. Semalam dua orang suspek lelaki warga tempatan berumur 60-an dan 52 tahun berjaya ditahan di Semenyih berhubung kes itu dan kedua-dua mereka direman selama lima hari.
“Kedua-dua lelaki itu ditahan dipremis mereka dan dipercayai menjadi anggota sindiket untuk mengimport mesin judi dari China. Difahamkan kesemua mesin judi yang dirampas untuk digunakan di premis judi haram di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Subromaniam, mesin judi disenaraikan sebagai barang yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import), Butiran 64, Jadual Ketiga, Bahagian I kecuali dengan permit daripada Kementerian Kewangan.-UTUSAN ONLINE
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.