ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Kedah menyasarkan sekurang-kurangnya 580 syarikat di seluruh negeri ini layak untuk didaftarkan dalam sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menjelang hujung tahun ini. Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah, berkata sehingga lima bulan pertama tahun ini, 259 syarikat atau mewakili 44 peratus daripada keseluruhan sasaran berjaya didekati melalui operasi yang dijalankan untuk berdaftar dalam sistem GST.

“Sehubungan itu kita akan mengerahkan kekuatan anggota untuk menjejaki lebih banyak syarikat yang kita tahu layak untuk berdaftar tetapi masih belum berbuat demikian. “Secara keseluruhannya, kita berjaya mendaftarkan sebanyak 14,000 syarikat di dalam sistem GST, dengan majoritinya adalah industri di Alor Setar dan Kulim,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Kedah di sini, hari ini. Beliau berkata, mana-mana syarikat yang masih gagal berdaftar di dalam sistem GST meskipun layak berbuat demikian iaitu mencapai pembekalan bercukai melebihi RM500,000 setahun, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 20 Akta GST 2014.

Terdahulu, Johari menghadiri taklimat bagi pelaksanaan Ops Penyata 03 yang akan dimulakan hari ini hingga Khamis bagi menjejaki syarikat yang masih gagal menghantar penyata GST. Sehingga kini katanya, 930 penyata GST masih gagal dihantar oleh 578 syarikat di bahagian utara Kedah, membabitkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang sejak 2015. Beliau berkata, ada di antaranya adalah pihak tegar iaitu sengaja ‘mengelat’ dengan tidak menghantar sehingga lima penyata, selain kecuaian kakitangan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/284858