KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok dan bir seludup dianggarkan bernilai RM870,840 dengan cukai dianggarkan RM8.2 juta, dipercayai untuk sambutan Krismas ini.

Pengarah JKDM Sarawak Ahmad Jii berkata rokok itu dianggarkan bernilai RM663,600 dengan cukai kira-kira RM7.6 juta manakala bir pelbagai jenama itu bernilai RM207,240 dengan cukai dianggarkan RM528,503.

“Kesemua barangan tersebut disita di bawah peruntukan Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa lesen import yang sah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ahmad berkata kesemua barangan seludup itu ditemukan dalam tiga kontena di Pelabuhan Senari, di sini oleh pasukan Kolaborasi Pengurusan Persempadanan (CBM) Kastam Sarawak yang melakukan pemeriksaan selepas menerima maklumat pada 13 Disember lepas.

“Siasatan awal mendapati kontena berkenaan tiba dari Singapura dan diimport oleh syarikat yang tidak wujud dan barangan tersebut diikrar sebagai barang kemas palsu, pakaian, beg, pensel serta kasut.

“Pada 14 Disember lalu semua kontena berkenaan ditarik ke stor penguatkuasaan Kastam di Demak Laut untuk pemeriksaan sepenuhnya dan didapati kontena pertama mengandungi 1,106 master case rokok putih jenama Rave (merah dan hijau), manakala kontena kedua dan ketiga mengandungi 5,800 karton bir jenama Foster’s, Brok dan Blue Ice,” katanya.

Ahmad berkata setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a), jika disabit kesalahan, bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali dan tidak lebih 20 kali duti kastam terlibat atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi 40 kali duti Kastam terlibat atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata pihaknya turut menahan 20 kontena yang disyaki mengandungi barangan seludup berupa rokok dan minuman keras di pelabuhan di Sibu.

Beliau berkata kes itu masih dalam siasatan dan nilai barangan di dalam kontena itu belum dipastikan.

Sementara itu, katanya bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, sebanyak 238 individu telah didakwa di mahkamah dan disabitkan pelbagai kesalahan kastam berbanding 149 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata Kuching dan Bintulu dikenal pasti menjadi pintu masuk utama barangan seludup ke negeri ini.

Katanya pihaknya akan menggiatkan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah seludup barangan termasuk akan melancarkan Operasi Outlet musim perayaan

Krismas bagi membendung penjualan rokok dan minuman keras.

Dalam kenyataan akhbar yang diedarkan pada sidang akhbar itu, Bahagian Penguatkuasa JKDM Sarawak berjaya merampas barangan seludup bernilai RM4.2 juta melibatkan cukai dianggarkan RM25.7 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Antara barangan utama yang dirampas ialah rokok, minuman keras, mercun, bunga api dan kenderaan. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/edisi/sabah-sarawak/rokok-bir-seludup-bernilai-rm870-840-dirampas-1.599698