KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan sindiket penyeludupan beroperasi di Pelabuhan Sepanggar dekat sini, selepas merampas 32 kontena mengandungi pelbagai barangan dianggar bernilai RM1.5 juta dengan duti cukai RM4.5 juta. Antara yang dirampas ialah 21 kontena mengandungi minuman keras pelbagai jenama, lapan kontena membawa beras dan tiga kontena berisi tayar yang diseludup dari beberapa negara untuk pasaran tempatan.

Kejayaan itu adalah hasil operasi tiga minggu menggunakan konsep Penyelarasan Pengurusan Sempadan (CBM) iaitu pemeriksaan teliti terhadap proses membawa masuk barangan di pelabuhan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain. Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Subromaniam Tholasy, berkata sebanyak 249,372 liter minuman keras bernilai RM870,000 dengan duti cukai RM3.69 juta dirampas daripada 21 kontena terbabit. “Siasatan lanjut mendapati semua minuman keras itu dibawa masuk dari Singapura dan Vietnam untuk pasaran tempatan, namun barangan terbabit diikrar sebagai perabot, perkasasan dan barangan sukan.

“Dalam operasi berasingan, kita turut merampas lapan kontena yang menyeludup 170,150 kilogram beras dari Thailand bernilai RM380,000 membabitkan duti cukai sebanyak RM680,000. “Turut dirampas, tiga kontena membawa 2,131 unit tayar dan pelbagai barangan lain dari China membabitkan nilai RM300,000 dengan duti cukai sebanyak RM150,000,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sabah di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir ialah Pengarah JKDM Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok.

Subromaniam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pihak yang terbabit dan yakin akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/189351