KOTA BHARU: Sebanyak 700 syarikat yang berdaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diaudit oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Operasi yang dinamakan sebagai ‘Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) membabitkan 700 pendaftar GST itu, dipilih secara rawak daripada 7,684 syarikat yang berdaftar di negeri ini. Pengarah Kastam Negeri, Mohd Nasir Yusoff berkata, operasi berkenaan dilancarkan pada 1 September sehingga 31 Disember ke seluruh negeri, dengan sasaran kutipan nilai GST berjumlah RM11 juta.

“Operasi ini membabitkan 25 pegawai dan mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan sebagai bahagian pematuhan iaitu mereka akan datang ke pejabat dan premis untuk meneliti semua dokumen berkaitan GST. “Manakala satu kumpulan lagi akan bertindak sebagai penguatkuasaan di mana mereka akan melakukan tindakan jika menerima sebarang aduan berkaitan pemalsuan dokumen serta invois,” katanya selepas melancarkan ops berkenaan di Wisma Kastam, di sini, hari ini. Mohd Nasir berkata, pihaknya sudah mengadakan 20 program berkaitan penerangan tentang GST secara percuma, namun sambutan diterima amat mengecewakan.

“Daripada 7,684 syarikat berdaftar, lebih kurang 1,000 sahaja datang mendengar taklimat, kami sudah mengedarkan risalah berkaitan program berkenaan. Namun tahap kesedaran mengenai GST di kalangan pemilik perniagaan di negeri ini masih berkurangan. “Sehingga Disember ini, pihak kami akan turun padang ke Gua Musang, Tanah Merah serta Pasir Puteh dalam menyampaikan maklumat mengenai GST,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/189612