MUKADIMAH
Seorang peniaga mengakui penyeludupan minyak masak subsidi negara ke Thailand telah berlarutan sejak puluhan tahun. Selain menggunakan laluan tikus, tentera semut dan kenderaan untuk mengangkut barang seludup, kini ia turut menggunakan perahu di Sungai Golok.
Lebih mencabar pihak berkuasa apabila minyak masak itu dijual secara terbuka di sepanjang jalan utama di Danok yang letaknya tidak sampai 50 meter berjalan kaki dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Semua ini bagai memberi mesej mudahnya barangan subsidi negara dibawa masuk ke negara jiran di sebalik adanya kawalan pihak berkuasa Malaysia.
Dalam tempoh Januari hingga Jumaat lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar lebih 7.5 tan minyak masak bersubsidi negara ini melalui pintu sempadan dan laut.
Ikuti siri akhir, laporan wartawan Utusan Malaysia di sekitar Kedah, Perak, Perlis dan Kelantan yang memperinci kritikalnya kegiatan tersebut yang turut menjejaskan ekonomi negara.
KUALA LUMPUR 6 Nov. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menguatkuasakan larangan membawa keluar minyak masak dari negara ini walaupun dalam kuantiti kecil bagi tujuan kegunaan persendirian bermula 1 November lalu.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk T. Subromaniam berkata, arahan terbaharu itu bertujuan mengekang kegiatan penyeludupan dan menyalahgunakan kelaziman masyarakat terutama yang tinggal di kawasan sempadan sehingga bahan itu mudah diperoleh di negara jiran.
Beliau berkata, semua pengarah kastam negeri yang bersempadan dengan negara jiran telah diarahkan untuk menyita semua barangan subsidi itu jika didapati cuba dibawa keluar walaupun satu peket kerana minyak masak tidak lagi dikategorikan sebagai ‘personal effect’.
“Bermula 1 November, kita sudah mengeluarkan arahan untuk menyita minyak masak yang tidak ada permit eksport oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Semua penguat kuasa telah dikerahkan untuk melaksanakan arahan ini. Sebelum ini, kita membenarkan untuk bawa keluar dalam jumlah kecil bagi kegunaan persendirian. Sekarang ia tidak lagi dibenarkan, satu peket pun tidak boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia berhubung lambakan minyak masak bersubsidi dijual di Thailand dan tinjauan turut mendapati pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) adalah longgar kerana tidak semua kenderaan diperiksa.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata, lambakan minyak masak bersubsidi yang dijual di negara jiran berkemungkinan di seludup keluar melalui ‘jalan tikus’.
Beliau menegaskan, pihaknya amat memandang berat dakwaan yang mengatakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di pintu sempadan utama negara adalah longgar sehingga memudahkan kegiatan penyeludupan berlaku.
Kata beliau, hasil tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, pihaknya membuat rampasan lebih 10 tan minyak masak dalam tempoh enam bulan atas kesalahan mengeksport tanpa lesen.
“Minyak masak adalah dilarang eksport kecuali dengan lesen MPOB sejak tahun 2012 dan sesiapa yang didapati bersalah boleh dihukum denda maksimum tidak lebih 20 kali ganda nilai rampasan atau RM100,000 atau yang mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali mengikut Akta Kastam 1967.
“Kita akan menyiasat sekiranya benar ada penguat kuasa yang bersubahat dan kita akan semak dengan semua pengarah kastam negeri. Minyak masak yang dieksport tanpa lesen hendaklah disita,” katanya.
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/larangan-bawa-keluar-minyak-masak-1.404584
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.