JOHOR BAHRU, 28 Dis (Bernama) — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan tambahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM3 bilion melalui pendekatan operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) yang lebih bersifat pematuhan pendidikan pada tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk T. Subromaniam berkata sasaran itu berdasarkan kutipan tambahan RM1 bilion yang berjaya dikutip dalam tempoh empat bulan selepas Ops CBOS dilaksanakan.
“Pendekatan yang kita jalankan sebelum ini lebih kepada bentuk penguatkuasaan yang dilihat kurang berkesan. Oleh itu, kali ini kita ubah strategi yang lebih bersifat mesra pelanggan dan berteraskan pendidikan dalam usaha memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih keliru dan kurang faham tentang GST,” katanya.
Terdapat peniaga yang masih tidak faham mengenai GST, kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Operasi CBOS di Menara JKDM negeri, di sini hari ini.
“Ada juga yang tidak membayar GST dengan betul, malah ada yang mengikrarkan GST lebih rendah daripada kadar ditetapkan, selain yang mengutip tetapi tidak membayar kepada JKDM,” katanya.
Katanya, objektif operasi itu adalah untuk peniaga yang masih keliru atau tidak faham tentang GST sekali gus memperbetulkan kesilapan peniaga dan memudahkan urusan kutipan cukai.
Subromaniam berkata sebanyak 200,000 syarikat daripada 430,000 syarikat yang mendaftar GST di seluruh negara akan menerima lawatan JKDM menerusi Operasi CBOS itu yang membabitkan restoran, peruncit, kontraktor pembinaan, kedai barangan logam dan pusat hiburan.
Beliau menyeru peniaga yang mempunyai masalah berhubung GST supaya menghubungi pihak JKDM, yang mana jabatan itu sendiri akan turun padang menghulurkan bantuan.
“Selepas ini, tindakan tegas akan diambil sekiranya masih ada lagi golongan peniaga yang mengingkari peraturan GST termasuk yang gagal mengemukakan penyata selain yang mengutip cukai itu namun tidak membayar kepada JKDM,” katanya.
Menurut beliau, sejak GST dilaksanakan pada April 2015, sebanyak 4,000 kertas siasatan dibuka dengan 400 syarikat sudah didakwa di mahkamah membabitkan kesalahan seperti tidak menghantar penyata GST, menghantar penyata tetapi tidak membayar, tidak mendaftar GST dan penipuan GST.
Dalam pada itu, Subromaniam juga memaklumkan bahawa JKDM yakin dapat mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM40 bilion pada tahun 2017 iaitu peningkatan RM1 bilion berbanding sasaran pada tahun ini sebanyak RM39 bilion.
“Melalui pelaksanaan CBOS ini, kita akan berjaya menyelesaikan sebarang masalah GST yang timbul dan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Pematuhan Ibu Pejabat JKDM Datuk Abdul Latif Abdul Kadir, Timbalan Pengarah JKDM Negeri Johor Bahagian GST Wan Nor Wan Mamat dan Timbalan Pengarah JKDM Negeri Johor Bahagian Pematuhan Jainon Sarjo.
CBOS yang dilaksanakan pada 1 September tahun ini bertujuan melaksanakan tindakan verifikasi dan pengauditan ke atas syarikat berdaftar dengan sistem percukaian GST selain memberikan pengecualian penalti jika pembayar cukai secara sukarela menyatakan kesilapan atau jumlah yang kurang dibayar sebelum akhir tahun ini.
Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1315127
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.