MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal melaksanakan penstrukturan semula jualan rokok dan minuman keras selain kawalan ke atas kenderaan di Langkawi, Tioman serta Labuan, bermula 1 November ini. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata dua langkah dilakukan bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan duti atau cukai di samping mengurangkan ketirisan hasil cukai di tiga pulau bebas cukai berkenaan.
“Langkah pertama ialah menerusi penstrukturan semula saluran jualan rokok dan minuman keras bebas cukai dengan mewujudkan Kedai Bebas Cukai (KBC) menggunakan Sistem Semakan Kuota KBC (SSKK). “JKDM akan memantau had kuantiti belian rokok dan minuman keras oleh pembeli dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong di pulau bebas cukai melalui penggunaan MyKad dan dokumen diri,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Bukit Baru di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 285 anggota lantikan baharu membabitkan 160 lelaki dan 125 wanita menamatkan Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred WK19 Siri 2/2016, bermula 18 Julai lalu. Sementara itu, Khazali berkata, inisiatif pengubahsuaian bajet tidak akan menjejaskan status taraf Pulau Bebas Cukai kerana JKDM merangka Prosedur Operasi Standard berpandukan mekanisme kawalan oleh Kementerian Kewangan. “Ada 79 KBC di tiga pulau itu iaitu 56 di Langkawi, 21 di Labuan dan dua di Tioman. “JKDM akan mengenal pasti kedai dan syarikat yang akan dilesenkan mengikut Seksyen 65D Akta Kastam 1967,” katanya.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/191291
Leave A Comment
You must be logged in to post a comment.