Kota Kinabalu: Sebanyak 11.3 tan mercun pelbagai jenis dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara sepanjang dua bulan lalu.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, meskipun tiada operasi khusus, pihaknya menjalankan penguatkuasaan di seluruh negara sejak April lalu.

Katanya, kebanyakan mercun yang dirampas dikategorikan sebagai berbahaya.

“Untuk makluman, sehingga hari ini, kastam sudah merampas 11,300 kilogram (11.3 tan) mercun pelbagai jenis.

“Kita tidak buat apa-apa operasi khusus, sebenarnya kami menjalankan operasi membenteras sejak dua bulan lalu dan secara berterusan.

“Untuk operasi bersempena Aidilfitri ini, kita sudah menggerakkan anggota JKDM sejak dua bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa JKDM Sabah di Perumahan Kastam Sabah Jalan Sepanggar, hari ini. Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok.

Khazali berkata, pihaknya berharap orang ramai terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada: Rabu, 22 Jun 2016 @ 10:34 PM

Sumber asal: http://www.hmetro.com.my/node/147221